26 May 2009

Tugasan 2: Analisis Artikel Jurnal

Artikel 1

Tajuk: Choosing to belong: increasing adolescent male engagement in the ELA classroom
Penulis: Tim Fredrick, 2006. Changing English. Volume 13, No. 1, pp. 151–159.

Artikel 2

Tajuk: How can I foster non-ENglish majors' interest and motivation?
Penulis: Fang Fang, 2004. Action Research Report from teaching experiences at Guyuan
Teachers College. Daripada http://www.actionresearch.net/.

Artikel 3

Tajuk: Love and critique in guiding student teacher
Penulis: Sigrid Gjotterud, 2009. Educational Journal of Living Theories. Volume 2(1): 68-95. Link dari www.actionresearch.net.
Artikel ini ditukar kerana artikel sebelumnya bukan menerangkan kajian tetapi lebih kepada pandangan terhadap kajian tindakan. Maaf kerana terlupa untuk mengupload/menukarkan artikel dalam Files Group lebih awal.

Kandungan Analisis Artikel

Isu/Tujuan Kajian

Artikel 1 dan 2 mempunyai isu yang hampir sama iaitu mengenai pembelajaran Bahasa Inggeris dan penglibatan pelajar dalam kelas tersebut. Kajian dijalankan untuk menambahbaik persepsi pelajar kepada subjek Bahasa Inggeris seterusnya meningkatkan penglibatan mereka dalam aktiviti pembelajaran. Artikel 3 pula adalah mengenai isu pendidikan bakal guru dan bagaimana cara terbaik untuk mendidik pelajar-pelajar di samping memperbaiki diri pensyarah sendiri.


Sampel / peserta kajian

Dalam Artikel 1, sampel atau peserta kajian adalah pelajar-pelajar sekolah Gred 9 yang majoritinya berbangsa Afrika-Amerika. Jumlah pelajar lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan. Kebanyakan pelajar datang daripada keluarga dengan latar belakang sosio-ekonomi yang sederhana atau miskin.

Dalam Artikel 2 dan 3, sampel atau peserta kajian adalah sama iaitu terdiri daripada pelajar guru yakni pelajar yang bakal menjadi guru. Selain itu dalam Jurnal 3, rakan-rakan pengkaji juga boleh dikategorikan sebagai peserta kajian.

Seting

Persekitaran kajian bagi Artikel 1 adalah di sekolah tinggi yang melibatkan kelas Gred 9. Manakala persekitaran kajian bagi Artikel 2 dan 3 adalah di Kolej Perguruan yang melibatkan pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah bidang pendidikan.

Prosedur

Penyataan Masalah

Melalui analisis saya terhadap artikel-artikel ini, kesemua artikel didapati bermula daripada proses penyataan masalah berdasarkan refleksi pengalaman pengkaji serta inkuiri tentang punca permasalahan yang ingin diketahui tersebut yang kemudiannya membawa kepada tindakan pengkaji untuk memulakan kajian tindakan.

Pemerhatian Awal/refleksi

Kemudian dalam Artikel 1 dan 2, pemerhatian awal dijalankan terhadap peserta kajian untuk merancang tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan. Dalam Artikel 2, pengkaji telah memberi soalan kaji selidik kepada peserta-pesertanya untuk mendapat maklum balas awal pelajar mengenai persepsi mereka kepada pembelajaran Bahasa Inggeris. Dalam artikel 3, pengkaji merefleksi pengalaman beliau sendiri dengan pemantau beliau apabila beliau cuba memikirkan kesan daripada cara seseorang mengkritik dan bagaimana penerimaan orang yang dikritik. Kemudian beliau mula membentuk kumpulan pengkaji untuk sama-sama mengkaji kesan kritik dan kasih sayang dalam pengajaran mereka memandu para pelajar belajar.

Merancang, mengambil tindakan dan pemerhatian

Dalam setiap artikel, pengkaji merancang tindakan yang akan dilakukan yang dapat memperbaiki keadaan yang dikira bermasalah tersebut. Dalam semua artikel, pengkaji merancang aktiviti penambahbaikan, kemudian melaksanakan perancangan tersebut seterusnya mengumpul data melalui pemerhatian. Bagi artikel 3, ada sedikit kelainan di mana pengkaji mengambil tindakan berdasarkan kes pelajar-pelajar secara individu, di mana pelajar yang dikira mempunyai masalah dalam sesi pengajaran, didekati dan diambil refleksi mengenai pengajaran beliau. Tindakan penambahbaikan diambil dan maklum balas pelajar juga diminta.

Analisis data dan refleksi

Data yang diperolehi seterusnya dianalisa dan pengkaji merefleksi semula daripada dapatan tersebut. Artikel 3 banyak merujuk kepada buku-buku mengenai konsep kewujudan bersama dan pemikiran-pemikiran sosialisasi dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan.

Pengumpulan dan analisis data

Artikel 1 menggunakan data dari beberapa sumber seperti pemerhatian terhadap pelajar di dalam kelas dan luar kelas, hasil kerja pelajar, respon/ maklum balas pelajar yang kemudian dianalisis secara membanding beza hasil kerja/respon pelajar, menilai keberkesanan tindakan sendiri yang telah diambil terhadap hasil kerja/respon pelajar.

Bagi artikel 2, data diperolehi daripada pemerhatian dan idea pengkaji, soal-selidik kepada pelajar, pengalaman pengkaji, perkongsian/pemerhatian dengan rakan pengkritik pengkaji, hasil kerja pelajar, dan respon/maklum balas pelajar terhadap pengajaran pengkaji. Data seterusnya dianalisa untuk melihat sejauhmana keberkesanan tindakan yang diambil.

Bagi artikel 3, data diambil melalui refleksi pelajar terhadap sesi pembelajaran, hasil kerja/tugasan pelajar, nota refleksi, panduan-panduan dan pelaporan pemerhatian kepada pelajar yang dikongsi bersama antara co-pengkaji serta perkongsian pengalaman melalui perbincangan. Setiap pelajar dalam kes individu dianalisa dan dilihat punca berlakunya masalah yang dihadapi dan seterusnya pengkaji merefleksi daripada data tersebut.

Analisis keseluruhan

Dalam setiap artikel, pengkaji mempunyai sifat inkuiri dan melihat masalah sebagai satu langkah awal untuk memperbaiki sesuatu sama ada cara pengajaran, cara komunikasi atau sesuatu suasana pembelajaran itu. Pengkaji banyak merefleksi daripada pengalaman sendiri sama ada yang lampau atau yang baru berlaku dan mengaitkannya kepada situasi yang dilalui pelajar. Tindakan yang diambil adalah melalui perspektif pelajar sendiri seperti cuba menyesuaikan cara pengajaran (tindakan) dengan perkara yang dapat menarik minat pelajar serta perkara yang dirasakan baik oleh pelajar. Perspektif yang bukan berbentuk 'dari permerhati' sahaja ini, menunjukkan hasil yang positif dan menambahbaik suasana pebelajaran.

Sintesis

Daripada ketiga-tiga jurnal ini, saya merasakan bahawa idea bagi mengutamakan perspektif pelajar dalam menambahbaik pembelajaran mereka adalah yang terbaik untuk kajian tindakan dan bukannya hanya melalui perspektif pengkaji semata.



Thank You For Reading
Got any comment?
Please let me know about it..
See ya on the next post
(^_^)

No comments:

Post a Comment

Please specify your name, nick-name and site, thanks for commenting...eh, commening..urm...commentating(?) (^_^)