23 May 2009

Tugasan 1: Ulasan Buku Kajian Tindakan

Tajuk Tugasan:
Ulasan Terhadap Buku "Semua Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kajian Tindakan"
Tajuk Buku: All You Need To Know About Action Research
Penulis: Jean McNiff dan Jack Whitehead
Penerbit: SAGE Publication
Negeri penerbit: London
Tahun terbitan: 2006
Ketebalan: 274 muka surat
----------------------------------------------------------------------------
Konsep Kajian Tindakan

Dalam buku ini, penulisnya mengatakan bahawa kajian tindakan adalah satu bentuk inkuiri (sifat ingin tahu) yang mana melalui kajian tindakan, seseorang (atau sekumpulan orang) itu akan menyelidik serta menilai kerja/kajian mereka. Kajian tindakan adalah berbeza dengan kajian-kajian lain walaupun kajian-kajian tersebut juga berbentuk kualitatif. Kajian tindakan melibatkan si pengkaji tindakan berada di dalam kajian (insider researcher) dan bukan sebagai pengkaji luaran sahaja yang melihat kajian dari perspektif luar (spectator researcher). Pengkaji tindakan melihat diri merupakan salah satu daripada komponen dalam kajian. Mereka akan menyatakan soalan-soalan permasalahan seperti "Adakah saya melakukan kerja saya seperti yang dikehendaki?" atau "Bagaimana kita memperbaiki aspek-aspek yang perlu diperbaiki dalam hal ini" ataupun "How can I make this better?" .
Namun, adalah lebih tepat lagi untuk mengatakan bahawa konsep yang ditekankan penulis adalah konsep tindakan-refleksi (action-reflection). Ini kerana proses dalam kajian tindakan yang melalui kitar demi kitar itu, pasti akan melalui tahap di mana pengkaji mengambil tindakan (bertindak atau implementasi rancangannya) dan kemudian merefleksi daripada apa yang diperhatikan berlaku terhadap perkara kajian (hasil tindakan).
----------------------------------------------------------------------------
Tujuan Kajian Tindakan
(Mengapa guru perlu melakukan kajian tindakan)

Penulis menyatakan bahawa tujuan setiap penyelidikan (yang ada di dunia ini) adalah untuk menjana ilmu pengetahuan yang baru. Namun dia melakukan sedikit perbandingan kajian-kajian tersebut dengan kajian tindakan, di mana kajian tindakan akan menjana sejenis ilmu pengetahuan baru yang istimewa (khas kut). Kajian tindakan biasanya difahami sebagai tindakan yang diambil seseorang untuk memperbaiki situasi-situasi individu atau sosial. Jika menurut Heron 1998; Heron & Reason 2001, kajian tindakan turut dilihat sebagai satu usaha untuk mendapatkan pemerintahan dunia yang lebih aman, harmoni dan produktif. namun begitu, menurut penulis pula, kajian tindakan dalam pendidikan bakal dilihat sebagai satu langkah (metode) untuk perubahan sosial dunia yang sebenar.

Bercakap dalam bidang pendidikan pula penulis mendakwa kebanyakan kajian dalam pendidikan menulis dari perspektif pemerhati. Apa yang tidak kena dengan kajian tindakan yang ditulis melalui perspektif pemerhati? Penulisan kajian tindakan tersebut akan memberi pengetahuan dalam bentuk analisis hanya secara konseptual yang seperti penjelasan-penjelasan mengenai kajian tindakan dan aspek kebolehgunaan hasil kajian tersebut, yang menurut penulis masih berada pada tahap 'hanya ayat kata-kata semata'. Sedangkan apa yang sebenarnya dikehendaki ialah untuk menghubungkan kajian dengan situasi dunia sebenar.

Penulis mengatakan bahawa kajian tindakan yang sebenar ialah apabila idea-idea dihubungkan dengan tindakan. Idea yang ada dijadikan sebagai teori amalan di dunia sebenar (dengan cara memberi penjelasan apa dan mengapa kajian dilakukan serta apakah pencapaian yang diharapkan). Ini juga dipanggil sebagai teori peribadi yang juga adalah teori kehidupan kerana teori boleh berubah dan semakin maju apabila manusia turut berubah dan maju.

Oleh itu, tujuan perlunya kajian tindakan dilakukan oleh para guru adalah untuk mewujudkan teori-teori kehidupan yang baru mengenai pembelajaran yang akan memperbaiki amalan dalam pendidikan dan untuk menyampaikan maklumat mengenai amalan-amalan tersebut kepada orang lain.
----------------------------------------------------------------------------
Reka Bentuk Kajian

Dalam aspek reka bentuk kajian, saya akan menyentuh mengenai tiga poin utama iaitu:
Model

Dalam buku ini, model yang digunakan oleh penulis merupakan model salah seorang penulis(Jean McNiff) yang diubahsuai daripada model sebelum itu hasil pemikiran beliau dan rakan-rakan (Jean McNiff et al. 2003). Model yang dipaparkan adalah suatu kitar tindakan-refleksi (Action-Reflection Cycle) yang berbentuk bulatan atau nombor 6.

Berdasarkan model dalam buku tersebut

Menurut penulis, proses dalam kitar tersebut proses perhati-refleksi-bertindak-menilai-ubahsuai-pindah dalam arah baru adalah secara umumnya diketahui sebagai tindakan-refleksi, tetapi perkataan itu belum lagi digunakan dalam mana-mana literatur. Kitar proses ini akan berterusan walaupun proses mencapai satu tahap kejayaan yang dikatakan sementara tetapi sudah memuaskan (provisional point), pada tahap tersebut akan terjana lagi soalan-soalan baru dan kitar akan bermula semula. Penulis juga mengemukakan model oleh Elliott (1991) yang ada dalam literatur sebagai rujukan pembaca untuk menggambarkan proses ini secara visual dengan lebih lanjut.

Sumber: Howden & Orford, 1992

(Published on QTER-Queensland Journal of Educational Research, 2006)

Sampel / Peserta Kajian (Participant)

Penulis tidak menggunakan perkataan 'sampel' dalam buku ini. Sebaliknya penulis telah menekankan bahawa dalam kajian tindakan, tujuan kajian adalah dilakukan untuk mengkaji diri pengkaji sendiri iaitu kajian mengenai kualiti pengaruh diri dalam pembelajaran pelajar dan bukannya pelajar sebagai subjek utama kajian. Oleh itu penulis menggunakan perkataan Peserta Kajian dan malah mempunyai status yang sama dalam kajian dengan pengkaji itu sendiri dan bukan sebagai objek yang ingin diketahui (objects of enquiry) ataupun seperti orang bawahan/berpangkat rendah (subordinates).

Tambahan: Penulis menyentuh aspek 'peserta kajian' ini dalam subtopik mengenai sumber kajian yang mana terdiri daripada 3 iaitu masa, kelengkapan dan manusia. Manusia yang terlibat dalam kajian ini adalah terdiri daripada pengkaji sendiri, peserta kajian, rakan-rakan pengkritik dan pengesah, kumpulan pengesah dan pemerhati yang berminat. Pengesah-pengesah = orang yang boleh mengsahihkan kajian tersebut.

Seting Kajian (Persekitaran Kajian)

Dalam buku ini, penulis tidak mengspesifikasikan persekitaran kajian tindakan secara jelas dalam satu-satu bab atau subtopik. Namun melalui pelbagai contoh dan penggunaan ayat yang dikemukakan, saya merumuskan bahawa penulis menyentuh persekitaran kajian tindakan secara meluas iaitu sama ada dalam persekitaran di

1. Rumah - pengkaji mungkin adalah seorang ibu/bapa yang membuat kajian tindakan melibatkan anak-anak sendiri atau melakukan pembelajaran secara home-schooling.

2. Sekolah - melibatkan pengkaji-pengkaji seperti guru atau kakitangan sekolah dalam persekitaran pelajar-pelajar atau warga tenaga penggerak sekolah.

3. Institusi pengajian tinggi - melibatkan kajian tindakan yang dijalankan oleh para pensyarah ataupun staf pentadbiran dan kemungkinan yang dijalankan oleh pelajar (seperti kita DPLI sekarang).

4. Tempat kerja - kajian tindakan dilakukan oleh seorang bos atau kakitangan yang bekerja dalam satu-satu syarikat.

Bagaimanapun, kebanyakan contoh adalah melibatkan persekitaran di sekolah.

---------------------------------------------------------------------------

Prosedur Kajian Tindakan

Dalam buku ini, penulis menghuraikan prosedur kajian tindakan dalam Bahagian 3 yang mengandungi 3 bab (9, 10 & 11). Saya merumuskan prosedur ini seperti berikut:

Perancangan awal

Dimulakan dengan proses perancangan di mana pengkaji memikirkan mengenai beberapa aspek iaitu:

1. Aspek praktikal pada setiap langkah dalam kajian - Pengkaji mengemukakan soalan-soalan apa yang membawa pengkaji kepada penyataan masalah, sebab untuk melakukan kajian, apa yang boleh dan akan dilakukan dalam kajian,

2. Sumber - terdiri daripada masa (perancangan masa yang diperuntukan dan keupayaan menyediakan masa tersebut untuk menjalankan kajian), peralatan kelengkapan (menyenaraikan peralatan-peralatan yang diperlukan seperti komputer, kamera, perakam video, jurnal-jurnal dan buku-buku sebagai rujukan kajian, yang turut ditentukan cara mendapatkannya sama ada melalui kewangan sendiri atau pembiayaan daripada sebarang organisasi) dan akhirnya manusia (merancang siapakah peserta kajian, rakan pengkritik dan pengesah, kumpulan pengesah, dan pemerhati yang berminat).

3. Isu-isu etika - Perancangan dari aspek adalah mengenai bagaimana berhubung dan mendapatkan permohonan dengan para peserta kajian dan mereka yang terlibat dengan kajian, melindungi hak mereka dan kepentingan kajian serta mengekalkan kepercayaan orang terhadap diri anda).

Pelan tindakan

Penulis menekankan pengkaji mengetahui mengenai apa yang terlibat dalam perancangan tindakan iaitu idea, kefahaman dan soalan-soalan mengenai kajian yang akan dijalankan. Penulis turut menegaskan tentang kesedaran dua unsur utama kajian tindakan iaitu mengambil tindakan dan membuat refleksi. Kemudian penulis menjelaskan pelan tindakan dengan secara lebih terperinci dengan setiap langkah perancangan dan penulisannya beserta dengan contoh sekali.

Melaksanakan pelan tindakan

Dalam buku ini penulis memberi penjelasan mengenai pelaksanaan pelan tindakan melalui contoh-contoh kajian tindakan yang pernah dilakukan. Terdapat rangka laporan ringkas kajian yang dimulakan dengan pengenalan, penyataan masalah, langkah dan dapatan kajian dalambentuk soal-jawab ringkas dan padat seterusnya diakhiri dengan kesimpulan. Saya berpendapat pemberian contoh ini lebih memudahkan pembaca untuk melaksanakan pelan tindakan dan seterusnya menulis laporan kajian.

Pengumpulan & Penganalisisan Data

Dalam buku ini terdapat beberapa instrumen kajian yang dinyatakan penulis seperti nota lapangan (dalam bentuk laporan langsung, peta minda, diagram spider dan nota bergambar), lembaran rekod dan jadual pemerhatian, serta analisis sosiometrik (menunjukkan interaksi dalam bentuk grafik).

Bagi teknik pengumpulan data, penulis memberi contoh seperti penulisan laporan bertulis, buku log peribadi atau diari, soal-selidik, dan tinjauan serta temu bual. Penulis turut meletakkan sumber-sumber dapatan data seperti amalan dokumentasi, amalan kehidupan, aturan main peranan atau persembahan, hasil kerja peserta, serta rakaman video.

Penulis menekankan bahawa data perlu disimpan dan disusun secara teratur untuk menjamin keselamatan bukti kajian serta kelancaran kerja. Penyimpanan dan penyusunan data boleh dibuat mengikut kategori sama ada secara digital (dalam komputer) atau tradisional (salinan asal).

Selain itu penulis mengingatkan agar pengkaji sentiasa merekod aktiviti bacaan rujukan yang dilakukan dengan merekod bibliografi bahan bacaan tersebut. Ini bagi memudahkan penulisan laporan rujukan literatur.

Penganalisisan data yang diperolehi adalah untuk menjana bukti kajian. Dalam buku ini penulis menerangkan bagaimana sesuatu kajian dibuktikan melalui ktiteria dan capaian terhadap piawai penilaian. Piawaian siapa dan yang mana perlu digunakan sebagai kayu ukur. Pengkaji juga perlu memilih data yang bernilai dan seterusnya menjana bukti-bukti kajian daripada data tersebut.

----------------------------------------------------------------------------

Etika Kajian Tindakan (Research Ethics)

Penulis menekankan bahawa etika dalam melakukan kajian tindakan sangat penting, bukan sahaja dikira sebagai satu tindakan yang mencerminkan nilai kesopanan tetapi turut melibatkan urusan perundangan. Dalam buku ini, mereka menyentuh 3 aspek utama yang perlu diambil kira. 3 aspek tersebut adalah;

1. Jalan masuk (akses kepada peserta) secara rundingan dan selamat - Sebelum memulakan kajian tindakan, pengkaji WAJIB membuat rundingan dan memohon secara formal (surat bertulis) untuk melakukan kajian. Semua peserta mesti menerima surat tersebut termasuk mereka yang tidak boleh membaca (caranya ialah dengan membacakan surat tersebut kepada mereka). Bagi kanak-kanak dan mereka yang vulnerable, kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga perlu dipastikan. Seterusnya semua surat kebenaran asal perlu disimpan dengan baik untuk rujukan semula apabila perlu dan salinannya mesti diletakkan pada lampiran laporan kajian. Penulis turut menyertakan contoh surat permohonan dalam buku tersebut di mukasurat 87.

2. Melindungi peserta kajian - Peserta kajian perlu dilindungi dari segi identiti. Sekiranya mereka tidak ingin dikenali dalam kajian tersebut, maka pengkaji perlu meletakkan nama peserta hanya sebagai nombor samaran, contohnya 'Pelajar 6' atau 'Rakan 1'. Tetapi sekiranya mereka ingin dikenali, maka pengkaji perlu menyatakan nama mereka tetapi perlu dipastikan surat kebenaran telah ditandatangani dan salinannya juga diberi kepada mereka. Pengkaji juga mesti berhati-hati dengan penyataan lokasi dan perlu berbincang dengan individu berkuasa seperti pengetua dan boss untuk perkara-perkara seperti ini. Yang penting adalah pengkaji mengekalkan tahap kepercayaan peserta kepada pengkaji dengan memberi perlindungan kerahsiaan berterusan kepada mereka serta sentiasa bersikap jujur dan meyakinkan.

3. Menjamin kepercayaan dengan baik - Seperti yang disebutkan tadi, kepercayaan peserta adalah penting. Ini boleh dikekalkan dengan mengotakan segala yang anda katakan secara berterusan. Letakkan matlamat untuk membina reputasi kejujuran di mata peserta dan lindungi reputasi itu. Pengkaji mengingatkan pembaca, bahawa manusia akan lebih ingin bekerja dengan mereka yang boleh dipercayai.

---------------------------------------------------------------------------

Kebolehpercayaan dan Kesahan Kajian Tindakan

Dalam bahagian ini, penulis telah membahagikan penjelasannya kepada dua aspek iaitu validity dan legitimacy. Validity adalah kesahan kajian secara teknikal atau prosedur metodologi manakala legitimacy pula adalah kesahan kajian dari segi penerimaan masyarakat awam terhadap kajian tindakan yang dilakukan.

Kesahan (validity) boleh diperolehi melalui mendapatkan kritikan daripada orang lain seperti

1. Penyelia - sekiranya pengkaji berada dalam satu situasi pembangunan profesional atau program seperti di institusi pendidikan dan sebagainya, pengkaji mungkin akan diaturkan seorang penyelia yang boleh memberi panduan dalam memberi kritikan serta memberi kritikan ilmiah.

2. Kawan yang kritikal - Pengkaji juga boleh mendapatkan kritikan daripada rakan-rakan yang boleh mengkritik secara ilmiah. Mereka boleh terdiri daripada orang perseorangan atau kumpulan. Kehadiran mereka kemungkinan tidak dapat dijamin untuk sepanjang kajian. Pengkaji perlu memberi penjelasan dengan jelas mengenai kajiannya dan mendapatkan kerjasama mereka setiap kali perjumpaan. Rekod ringkasan/hasil perjumpaan perlu diletakkan tarikh, ditandatangani dan disimpan. Rakan-rakan tersebut juga perlu diberi salinan rekod tersebut sebagai bahan bukti dan rujukan. Dalam hal ini pengkaji perlu bijak dalam menghargai kehadiran kerjasama rakan-rakan yang ada. Mereka memberi anda masa dan tenaga dengan percuma oleh itu hargailah sebaiknya.

3. Kumpulan Pengesah - Kumpulan pengesah boleh terdiri daripada 3 ke 10 orang bergantung kepada saiz projek pengkaji. Rakan kritikal juga boleh dijemput menjadi ahli kumpulan ini. Namun penulis menggalakkan pengkaji untuk mendapatkan bantuan pengesah di luar berbanding lingkungan profesional pengkaji sendiri. Contohnya, mungkin pengkaji menjemput individu daripada jabatan berlainan, pemerhati yang berminat mengkritik atau ahli dalam komuniti perniagaan. Yang penting mereka boleh mengkritik secara ilmiah. Penglibatan kumpulan ini sedikit berbeza dari rakan kritikal. Pengkaji perlu memastikan kehadiran mereka pada setiap perjumpaan (walaupun bukan semua hadir pada setiap perjumpaan, sekurang-kurang kehadiran tetap berterusan). Mereka mendengar penjelasan anda, memeriksa data dan bukti yang ada, mempertimbangkan dakwaan dan seterusnya menawarkan maklum balas yang kritikal. Seperti tadi juga, setiap perjumpaan perlu direkodkan dan salinan diberi kepada kumpulan pengesah.

Legitimacy pula diperolehi dengan mendapat pengiktirafan daripada komuniti pendidik (practicioner) dan penyelidik bagi membolehkan hasil kajian yakni teori atau amalan baru pengkaji diterima khalayak umum.

----------------------------------------------------------------------------

Penilaian keseluruhan

Secara keseluruhannya, buku ini mempunyai 25 bab yang dibahagikan kepada 7 bahagian. Tajuk bagi setiap bahagian adalah merupakan soalan-soalan penting yang biasanya diajukan oleh pengkaji dan bab-bab di dalam bahagian tersebut merupakan jawapan bagi persoalan-persoalan tajuk tersebut. Bermula dengan pengenalan yang menceritakan apa yang perlu pembaca ketahui perihal buku ini, penulis kemudian menggarap bab demi bab dalam turutan proses yang saling berkait secara logik namun menyentuh isu-isu yang berbeza. Isi dalamnya ditulis secara umum agar kajian tindakan dapat difahami secara keseluruhan, tetapi dalam masa yang sama pembaca tetap dapat memberi fokus pada isu tertentu mengikut kehendak masing-masing. Bab yang ditulis dengan ringkas dan padat dapat mengelakkan kebosanan pembaca, bahkan memotivasikan pembaca untuk menghabis bacaan dengan cepat dan mudah.

Saya berpendapat bahawa buku ini sangat sesuai untuk dijadikan rujukan oleh para penyelidik kajian tindakan sama ada dalam persekitaran di bidang pendidikan atau bidang-bidang lain. Penulis juga ada menekankan bahawa buku ini merupakan rujukan lengkap bagi mereka yang menjalankan kajian tindakan sehingga proses disertasi dan mendapatkan pengiktirafan akademik. Buku ini juga sesuai untuk rujukan golongan pelajar untuk mendalami kajian tindakan dan sebagai rujukan untuk peperiksaan. Ini kerana selain memberi penerangan secara ringkas tetapi padat penerangan dan disertai contoh-contoh kajian tindakan yang pelbagai, buku ini turut menampilkan sejarah kajian tindakan yakni sedikit asal usul bermulanya budaya kajian tindakan ini.

Namun, sedikit kesukaran adalah kerana bahasa Inggeris yang digunakan dalam buku ini agak bertahap tinggi dan memerlukan pemahaman yang mendalam bagi mereka yang bukan penutur bahasa Inggeris. Cara penjelasannya dihuraikan adalah dalam bentuk ilmiah dan agak formal namun masih santai kerana disampaikan secara ringkas dan padat.

Seperti tajuknya, saya sokong inilah buku yang sesuai bagi mereka yang ingin tahu semua mengenai kajian tindakan.

Selamat membaca dan terima kasih!


Thank You For Reading
Got any comment?
Please let me know about it..
See ya on the next post
(^_^)

3 comments:

  1. Assalamualaikum Cikgu Huda..

    What an interestin' blogger r u.. =)

    1) Ulasan buku yang menarik.. Secara keseluruhannya menampakkan bhw cikgu telah cuba mendalami ape yg cuba disampaikan oleh penulisnya, tahnian sy ucapkn atas usaha yg cikgu buat..

    2) Penggunaan diagram mmg satu idea yg bernas.. mjadikan 'pit stop' kpd para pbaca sblm mnyambung pbacaan content seterusnya.. very good!! dan xlupa pgunaan bahasa indonesia sbg penarik tambahan dalam blog cikgu ni.. congrates 2 u..

    3) Uitzz!! Akan bersambung?? Mesti byk lg isi yg akan diperbincangkn dlm blog ni kan..?? Dan sbg follower sy akan stiasa mengikuti pkembangan blog cikgu..

    4) DO YOUR BEST 4 2DAY..& MAKE IT BETTER 4 TOMORROW..!!

    5) Cadangan: Nk mengUNGUkan model di atas? why not u juz use PAINT, basic picture editor dalam microsoft.. huhu.. selamat mcuba!!

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumsalam Cikgu Fairus..

    Terima kasih atas komen balas anda.
    Saya cuma menulis mengikut cara sendiri bagi menarik minat diri sendiri untuk membaca nota sendiri secara bersendirian..ork(^0^)?
    Sebab kalau saya tulis secara skema, saya tiada minat untuk membacanya semula.

    Diagram-diagram itu untuk memudahkan pemahaman pembaca serta menghilangkan boring mereka (pit-stop la kot tu)...

    Bahasa Indonesia tu sempena meraikan kolaborasi UKM-UNRI dalam Seminar Serantau yang lepas... bisa juga jadi perkara lucu-lucu bukan, ya.. untuk pembaca enggak boring deh =)

    Akan bersambung.. sebab masih dalam proses menyiapkannya sehingga saya memenuhi keperluan poin-poin penting yang digariskan Dr. Siti.

    Sebenarnya 1st buat diagram tu dah Ungu, tapi sebab saja menaikkan warna diagram itu berbanding warna tema blog ini, jadilah macam tu.. Biarkanlah dulu ek?

    Terima kasih atas kata-kata pembakar semangat itu. Saya akan pastikan saya siapkan tugasan ini seikhlas hati, setulus kasih dan setulen Seri Murni..eh maksud saya... sampai siaplah..

    Teruskan usaha (^_^)/(^o^)/(^0^)/
    Ke arah keunggulan penyelidikan pendidikan!

    ReplyDelete
  3. salam...kak uday...perh! xacila...akk nyer soooo detail ma....anwy, tahniah! kupasan yang sangat menarik!

    ReplyDelete

Please specify your name, nick-name and site, thanks for commenting...eh, commening..urm...commentating(?) (^_^)